Thursday 27 October 2011

Pemuda...

Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi maha Penyayang;

Hari ini kita akan membicarakan persoalan kredibiliti pemuda yang semakin lama semakin dipersoalkan. Pemuda merupakan salah satu daripada beberapa bahagian yang penting di dalam masyarakat. Kita sebagai pemuda harus sedar dimanakah terletaknya "kita" di dalam masyarakat sekeliling. Pemuda juga disebut-sebut sebagai golongan yang mempunyai ideologi dan pemikiran yang mampu menggegarkan dunia, adakah ia benar???


Sejarah telah membuktikan para pemuda merupakan agen kebangkitan umat manusia pada umumnya. Lihatlah pada sejarah kebangkitan mana-mana bangsa mahupun negara, maka kita akan dapati pemuda adalah golongan yang mewarnai perjalanan sejarah masing-masing, terutamanya pada era kemerdekaan. Sebagai contoh, revolusi Perancis yang telah menumbangkan kekuasaan Monarki, perjuangan pro demokrasi di RRC dan Burma serta medan Tiananmen di Beijing menjadi saksi keterlibatan para pemuda. Mantan presiden Indonesia, Soekarno yang menyedari hakikat ini pernah menyatakan, "Berikan aku 10 orang pemuda, maka aku akan goncangkan dunia."menunjukkan bahawa golongan pemuda adalah

Ibnu Jauzi turut menyatakan nasihatnya kepada para pemuda dalam kitabnya, Shifatush Shofwah, Jilid 4, m/s: 24 dengan kata-kata, "Wahai para pemuda, kerahkanlah potensi dirimu selagi masih muda kerana aku belum pernah melihat karya yang paling berharga selain yang dilakukan oleh generasi muda".

Rasulullah saw telah mengarahkan Usamah b. Zayd supaya mengetuai tentera muslimin untuk menentang Rom ketika umurnya baru 18 tahun. Perlantikan Usamah ketika usia muda ini merupakan dalil kuat terhadap keperluan memberi peluang kepada pemuda memikul tanggungjawab dan memanfaatkan kemampuan mereka, dan juga sebagai persediaan pemuda untuk masa hadapan umat yang menunggunya.

Begitu juga Muaz b. Jabal r.a. Beliau telah diutus Rasulullah saw ke Yaman untuk mempelajari  fiqh dan Agama ketika usia kemuncak pemuda.

Dengan wujudnya kepentingan fasa pemuda yang cukup matang inilah, Rasulullah saw telah berpesan kepada umat Islam supaya ‘mengeksploitasi’ dan merebut fasa pemuda ini sebelum ia berlalu pergi.

Hadith Rasulullah saw : “Rebutlah peluang 5 perkara sebelum dtg 5 perkara yg lain, iaitu masa mudamu sebelum datangnya hari tua, masa sihat mu sebelum engkau dilanda sakit, masa kayamu sebelum engkau jatuh papa, masa lapang mu sebelum dtgnya waktu sibuk dan masa hidup mu sebelum dtg saat kematian”

Dan Rasulullah saw telah memberi khabar gembira buat pemuda yang taat dan sangat berhasrat kepada redhaNya dengan perlindungan teduhan di tengah terik panas hari kiamat, dan diletakkannya di belakang imam yang adil.

Hadith Rasulullah saw : ”Tujuh golongan manusia yang akan diberi perlindungan oleh Allah dalam naungannya di hari yang tiada naungan melainkan perlindungan Allah itu sendiri.
Mereka itu adalah: Imam (pemimpin) yang adil, pemuda yang sentiasa beribadat kepada Allah, lelaki yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid, dua orang yang saling cinta mencintai kerana Allah di mana keduanya berkumpul dan berpisah kerana Allah, seorang lelaki yang diajak oleh wanita rupawan serta berkedudukan tinggi untuk melakukan zina, lalu ia menjawab, “Aku takut kepada Allah”, seseorang yang bersedekah dengan sesuatu sedekah lalu menyembunyikan sedekahnya itu sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya, seseorang yang mengingati Allah di tempat yang sunyi lalu mengalir air matanya.” (Riwayat at-Tirmidzi)

Lihatlah bagaimana generasi dahulu meletakkan pemuda sebagai satu aset yang sangat berharga dan bagaimana pemuda diagung-agungkan sebagai golongan yang mampu mencipta perubahan dari semasa ke semasa.

Hari ini kita sebagai pemuda telah hilang kredibiliti apabila kebanyakan pemuda telah terjerumus ke lembah hiburan melampau (hedonisme), sikap tidak endah keadaan sekeliling, isu-isu semasa seperti isu politik, ekonomi, kebajikan, pembangunan. Kebanyakanya menghabiskan masa dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah dan maksiat. Tidak banyak pemuda yang mampu mengeluarkan artikel, komen dan risalah tentang masalah-masalah masyarakat dan Negara, belum dilihat lagi berapa ramai pemuda yang mempunyai ideologi yang mampu mengubah dunia dan masyarakat sekeliling 

Sewajibnya, kita sebagai pemuda masa kini perlu menjadi tiang kepada sebuah  negara. Jika tiang itu kuat maka kuatlah negara kita, jika lemah tiang itu maka lemahlah Negara. Tiang yang kuat adalah tiang yang mempunyai struktur yang kukuh dan jitu. Begitulah juga manusia yang perlu latihan dan bimbingan untuk menjadi pemuda yang kental dengan dugaan dan cabaran yang datang secara sedar atau tidak sedar. Wallahu’alam

“Jadilah Pemuda yang dipandang di sisi Allah dan rasullullah S.A.W”

No comments:

Post a Comment